
Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, berkata isu terbabit wajar didekati daripada sudut kemanusian dan kekeluargaan selepas aspek perundangan dan keagamaan kes itu telah lama diselesaikan.
Menurutnya, keutamaan beliau adalah untuk memudah cara pertemuan atas kapasiti peribadi, antara Indira dan anaknya selain menegaskan bahawa ianya juga adalah satu tuntutan agama.
Beliau turut menggesa Ridzuan Abdullah, bekas suami Indira, atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Prasana supaya menghubunginya agar perbincangan dapat dilakukan.
“Isu ini bukan lagi isu agama mahupun kaum. Ini adalah isu kemanusian dan ini adalah juga satu tuntutan agama.
“Isu agama tidak akan diganggu. Apa yang penting sekarang ialah nilai kemanusiaan dan kekeluargaan, yang juga merupakan teras dalam Islam. Islam tidak membenarkan pemisahan ibu dan anak atas dasar agama,” tambahnya.
“Saya telah berjanji kepada Indira bahawa saya akan membantunya untuk mencari anaknya. Apa yang penting adalah perkara ini perlu ditamatkan dan ibu ini harus dipertemukan dengan anaknya beliau,” katanya pada sidang media hari ini yang turut dihadiri Indira.
Hadir sama peguam Latheefa Koya, imam Hoslan Hussein serta aktivis Rafidah Ibrahim dan Syarul Ema Rena Abu Samah, yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga.
Ridzuan dikeluarkan waran tangkap sejak 2018 kerana gagal memulangkan Prasana kepada Indira selepas kalah dalam perbicaraan undang-undang berkaitan hak penjagaan dan penukaran agama anak-anak mereka.
Dia telah menukar agama tiga orang anak pasangan itu kepada Islam pada 2009 tanpa persetujuan Indira dan memohon hak penjagaan melalui mahkamah syariah.
Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama tersebut adalah terbatal dan tidak sah, serta mengarahkan ketua polis negara menahan Ridzuan kerana ingkar arahan Mahkamah Tinggi supaya mengembalikan Prasana.
Mahkamah Tinggi Ipoh bulan lalu mengarahkan polis memperluaskan usaha pencarian terhadap Ridzuan, dengan Hakim Norsharidah Awang berkata pencarian itu perlu diperluaskan ke seluruh negara.
Awal bulan ini, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata beliau telah memberi jaminan kepada Indira bahawa polis kekal komited untuk mencari anak perempuannya.