
Pengerusinya William Ng berkata, Jemaah Menteri baru juga mesti mengubah pendekatan “kerajaan lebih tahu”.
Tambahnya, kerajaan mesti membenarkan industri dan perniagaan berkongsi beban tadbir urus dan pematuhan peraturan.
Kata Ng, “perniagaan seperti biasa” tidak boleh lagi diamalkan pada hari ini kerana sebahagian ekonomi negara jiran sudah melakukan perubahan dan bergerak ke depan dengan lebih pantas berbanding Malaysia.
“Ini termasuk memperkasakan persatuan perniagaan untuk membuat campur tangan, membina kemampuan dan aktiviti promosi,” katanya dalam satu kenyataan.
Ng juga menggesa lebih kebebasan dalam sektor kewangan dan mempercepatkan perubahan daripada rejim diketuai kerajaan kepada rejim dipacu pasaran dalam usaha membebaskan sumber dengan lebih cepat bagi menyokong perniagaan.
Beliau juga menggesa Jemaah Menteri yang baru mempertimbangkan pembaharuan undang-undang buruh bagi membolehkan gaji ditambat pada produktiviti, mempromosikan mobiliti bakat dan kemahiran sebagai satu matawang, dan memenuhi kehendak ekonomi gig dan global.
Kata Ng peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu diseimbangkan bagi membenarkan lebih tumpuan dalam menyokong pembangunan sosioekonomi dan melindungi kepentingan negara di sektor strategik.
Pada masa yang sama, kerajaan mesti menggalakkan persaingan lebih besar dan menghapuskan monopoli serta kuasi-monopoli.
Ng juga berkata, kerajaan harus mengenal pasti sektor tumpuan pertumbuhan di mana Malaysia ada kelebihan dan menyediakan bantuan kepada SME untuk membangunkan kemampuan mereka serta kapasiti untuk menyokong sektor seperti itu.
Mereka yang di sektor sekunder termasuk peruncitan dan perdagangan pengedaran, pembuatan am, dan profesional dan industri perkhidmatan perniagaan, juga diberi bantuan untuk mencapai margin keuntungan lebih tinggi dan daya tahan berdepan pendigitalan dan automasi.