
Beliau berkata ramai usahawan Melayu Islam tidak melihat sijil halal sebagai keperluan mendesak kerana beranggapan pengguna sudah sedia mempercayai status halal perniagaan mereka.
“Sebaliknya, pengusaha bukan Islam lebih terdorong mendapatkan sijil halal kerana mereka sedar pengguna Muslim lebih yakin terhadap produk yang mempunyai pengiktirafan rasmi seperti sijil halal Jakim,” katanya kepada FMT.
Norsyahrin mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang memaklumkan 78% pemegang sijil halal Jakim di Selangor ketika ini terdiri daripada pengusaha bukan Bumiputera.
Sabirin dilaporkan Berita Harian berkata anggapan pensijilan halal bukan keperluan mendesak menyebabkan ramai pengusaha Bumiputera tidak memohon sijil itu.
Keadaan itu berisiko mewujudkan ekosistem industri halal yang tidak seimbang dan menjejaskan pematuhan kepada standard halal antarabangsa.
Selain faktor persepsi, Norsyahrin berkata kos dan kekangan operasi turut menjadi halangan utama, khususnya bagi perusahaan mikro dan kecil Melayu yang mempunyai modal terhad.
Menurutnya, walaupun bantuan kerajaan disediakan, proses pensijilan masih dilihat memakan masa dan tidak memberi pulangan segera, berbeza dengan syarikat besar yang mempunyai kemudahan, sistem pengurusan dan sumber kewangan lebih kukuh.
“Pensijilan halal sering memerlukan pengubahsuaian premis, pematuhan piawaian dapur serta pengasingan proses penyediaan makanan. Bagi perniagaan kecil, ini satu cabaran besar,” katanya.
Beliau menegaskan sijil halal bukan sekadar tuntutan agama, sebaliknya kelebihan kompetitif yang mampu meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka peluang pasaran lebih luas, termasuk eksport.
Sehubungan itu, Norsyahrin menggesa usahawan Muslim melihat pensijilan halal sebagai pelaburan strategik jangka panjang, bukan beban kos tambahan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng berkata sijil halal wajar dilihat sebagai nilai tambah, terutama dalam menarik pelancong dan pengguna Muslim antarabangsa yang bergantung sepenuhnya kepada logo Halal Malaysia sebagai jaminan.
“Dengan peningkatan pelancong Muslim, mereka tidak mengenali latar belakang pengusaha dan hanya percaya kepada pensijilan rasmi,” katanya.
William berkata pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan daya saing perniagaan tempatan, malah memperkayakan pilihan makanan untuk pengguna Muslim serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi makanan halal global.
Beliau turut menekankan keperluan dan manfaat pensijilan halal perlu diterangkan lebih awal supaya ia diambil kira sejak peringkat perancangan perniagaan.