Ronnie mohon maaf tuduh BN lulus projek tebang bakau

Ronnie mohon maaf tuduh BN lulus projek tebang bakau

ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu mengakui projek itu diluluskan ketika pemerintahan kerajaan PH selepas 2008 bukan era pentadbiran BN.

ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Pembangkang DUN Selangor Rizam Ismail.
SHAH ALAM:
ADUN Sungai Pelek membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail, susulan dakwaan projek Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Ayer Tawar diluluskan ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ronnie Liu mengakui projek itu diluluskan semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) selepas 2008.

“Saya ingin meminta maaf kepada ketua pembangkang kerana pada sesi lalu, beliau membangkitkan isu PKPS yang melibatkan kawasan pantai di kawasan DUN beliau.

“Selepas semakan dibuat, saya mendapati projek itu diluluskan oleh kerajaan PH (sebelum ini PR). Jadi saya minta maaf,” katanya pada sidang DUN Selangor.

Pada sidang DUN lalu, Rizam (BN-Sungai Air Tawar) mempersoalkan kerajaan negeri yang didakwanya tidak mengambil inisiatif memulihkan tanah paya bakau yang sepatutnya dijadikan projek kelapa sawit secara besar-besaran melibatkan kawasan Kampung Dato Hormat, Sungai Ayer Tawar sekitar 2008.

Bekas exco pelancongan dan alam sekitar Elizabeth Wong menafikan pihaknya memberi kelulusan untuk menebang pokok bakau selepas PR mengambil alih Selangor.

Susulan itu, persidangan DUN bertukar kecoh apabila ADUN PH dan BN saling membuat tuduhan berhubung projek berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.