Pinda Akta JAC, Perlembagaan untuk kebebasan badan kehakiman, kata Badan Peguam

Pinda Akta JAC, Perlembagaan untuk kebebasan badan kehakiman, kata Badan Peguam

Badan Peguam berkata peruntukan mengenai representasi pihak berkepentingan bawah akta itu perlu dikaji semula oleh pengamal undang-undang dan peguam negara.

Presiden Badan Peguam Karen Cheah berkata pemilihan ahli JAC mesti dilakukan melalui satu set kriteria sesuai untuk semua rakyat Malaysia dan negara.
PETALING JAYA:
Badan Peguam Malaysia menggesa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan dipinda bagi memastikan kebebasan badan kehakiman yang lebih luas.

Presiden Karen Cheah berkata kuasa perdana menteri dalam proses pelantikan kehakiman bawah akta itu mesti dihapuskan bagi membolehkan suruhanjaya itu menjalankan tugas secara bebas daripada eksekutif.

Cheah berkata, peruntukan mengenai representasi pihak berkepentingan bawah akta itu perlu dikaji semula oleh pengamal undang-undang dan peguam negara.

Katanya, pelantikan ahli JAC mesti dilakukan menerusi satu set kriteria sesuai untuk semua rakyat dan demi kebaikan badan kehakiman serta negara.

“Adalah penting bahawa kerajaan pada masa itu, yang menyatakan ia tegas dalam tadbir urus yang baik, meneruskan langkah ke hadapan dengan mempunyai kemahuan politik untuk membuat pindaan kepada Akta JAC dan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, untuk menubuhkan badan kehakiman yang bebas untuk demi sistem demokrasi yang betul dalam negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Perkara 122B menetapkan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja dan ketua hakim negara.

Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkata perdana menteri tidak seharusnya dibenarkan melantik ahli JAC.

Tuanku Muhriz yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-260 semalam berkata, terdapat kelemahan dalam proses pelantikan hakim yang boleh diselesaikan.

Beliau mencadangkan lima pelantikan ke JAC tidak dibuat oleh perdana menteri bagi memastikan kebebasan suruhanjaya itu dalam menjalankan tugasnya.

Sambil menyifatkan kenyataan Tuanku Muhriz tepat pada masanya, Cheah berkata Badan Peguam menyerahkan kertas kerja untuk mengkaji semula Akta JAC kepada kerajaan pada 2018 kerana bimbang proses pelantikan hakim tidak bebas daripada pengaruh eksekutif.

Beliau berkata, Badan Peguam secara konsisten menyokong komposisi keseluruhan JAC untuk mencerminkan kepelbagaian dan keterangkuman untuk mencerminkan demografi Malaysia, yang terdiri daripada wakil semua kaum, agama, budaya dan profesion.

“Jika komposisi JAC mencerminkan masyarakat Malaysia kita, ia akan meningkatkan keyakinan dan penerimaan orang ramai terhadap keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman kerana hakim-hakim ini pada asasnya mewakili dan membuat keputusan yang menjejaskan kehidupan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ketika ini, perdana menteri diberi kuasa melantik hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang bersidang dan empat orang penting ke JAC.

JAC terdiri daripada sembilan ahli – empat pentadbir kehakiman tertinggi diketuai oleh ketua hakim negara, serta seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan dan empat orang penting lain, yang dilantik oleh perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.