
Pengendali perkhidmatan LRT itu memohon maaf kepada penumpang atas gangguan teknikal yang berlaku di Stesen LRT Kerinchi pada 5.46 petang tadi sehingga menyebabkan tren dari kedua-dua arah tidak dapat melalui kawasan terbabit.
“Kakitangan teknikal sedang menjalankan kerja-kerja baik pulih di lokasi. Akibat gangguan itu, semua tren yang melalui kawasan tersebut terpaksa dipandu secara manual.
“Ini mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan platform di beberapa stesen,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, ia menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma untuk membawa penumpang dari Stesen LRT Bangsar dan KLCC ke Stesen LRT Pasar Seni.
Menurutnya, kakitangan operasi dan polis bantuan turut ditempatkan di platform untuk membantu orang ramai, selain pengumuman dibuat melalui media sosial, di stesen dan dalam tren untuk makluman penumpang.
Terdahulu, RapidKL dalam catatan Facebooknya berkata, kekerapan perkhidmatan tren di beberapa stesen antara Kerinchi dan Ampang Park akan lewat kira-kira 15 minit selepas sebuah tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan akibat masalah teknikal.
Awal bulan ini, 16 stesen di sepanjang LRT Laluan Kelana Jaya ditutup kira-kira seminggu.
Pada 11 Nov lalu, Menteri Pengangkutan ketika itu, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, punca masalah dikenal pasti selepas modem dan peranti untuk bekalan elektrik landasan ditukar.