
Nota editor: Versi terdahulu artikel ini berdasarkan kenyataan polis menyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang disiasat atas dakwaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ialah ejen Israel. Polis kemudian menjelaskan individu yang disiasat ialah Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad. Artikel ini dikemas kini untuk mencerminkan kenyataan terkini polis.
Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kenyataan itu didakwa dibuat Hassan dan siasatan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Anwar mengarahkan polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak menyebarkan fitnah mengaitkan beliau, termasuk tuduhan kononnya Anwar bertindak sebagai “ejen Israel”.
Isnin lalu, tular rakaman audio berdurasi 58 saat yang mana seorang wanita mengulas mengenai pelantikan Anwar sebagai perdana menteri yang didakwa dipengaruhi Israel.
Dalam audio itu, wanita berkenaan mendakwa Hassan memaklumkan Perikatan Nasional memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu, bagaimanapun mendakwa Anwar memberi tekanan dengan “menghubungi Israel dan kuasa asing” untuk campur tangan dalam proses itu.
Bagaimanapun, memetik laporan Sinar Harian hari ini, Hassan menafikan pernah menyebarkan kenyataan mengaitkan wujud pengaruh Israel dalam pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.
Beliau berkata, audio yang dikatakan tular sejak beberapa hari lalu berhubung dakwaan itu tiada kaitan dengan dirinya.
Hassan berkata, suara wanita berkenaan juga tidak dikenalinya dan menegaskan tidak pernah mengaitkan isu Israel dengan Anwar dalam mana-mana ceramah kempen PRU15.