
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata TikTok adalah “dunia berbeza” berbanding Facebook, Twitter dan Instagram kerana ia memenuhi keperluan golongan muda yang lebih gemar menonton video pendek.
“Video TikTok biasanya agak mentah dan langsung yang menjadikannya kelihatan asli. Itulah kesan TikTok yang PN berjaya manfaatkan,” katanya kepada FMT.
“Anwar dan penyokong Melayunya perlu segera meningkatkan usaha memberi naratif balas, terutamanya melalui video pendek TikTok. (Mereka harus) merekrut lebih ramai orang Melayu setiap hari untuk membuat video ini supaya kelihatan semula jadi dan organik.”
Azmil membuat cadangan itu apabila ditanya bagaimana Anwar dan Pakatan Harapan (PH) perlu melawan propaganda etno-agama daripada pembangkang yang didominasi Melayu-Islam, seperti PN.
TikTok baru-baru ini mendapat perhatian berikutan laporan beberapa hantaran di platform media sosial, antara lain memberi amaran kemungkinan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 susulan kemenangan PH, pada PRU15.
Sementara itu, penganalisis Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Mohd Sani, berkata Anwar harus menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera sambil memperjuangkan hak kaum lain.
“Dalam PRU15, rakyat percaya propaganda perkauman dan agama yang dibuat oleh PN,” katanya kepada FMT.
“Saya yakin orang Melayu akhirnya akan menyokong Anwar dan PH jika ekonomi bertambah baik, isu kenaikan harga barang diselesaikan dan hak orang Melayu dan Bumiputera termasuk Islam dijaga.”
Azmil dan Azizuddin juga bersetuju bahawa Anwar tidak perlu melayan pengundi konservatif yang banyak mengundi PN melalui penggubalan dasar konservatif.
Sebaliknya, mereka berkata, Anwar perlu menumpukan perhatian untuk mewujudkan pekerjaan, pelaburan, menyelesaikan isu pendapatan dan memerangi rasuah, kerana ia akan membantu meredakan rasa tidak puas hati ramai penyokong PN.
“Sebagai permulaan, beliau tidak sepatutnya melantik individu daripada kluster mahkamah dalam kabinetnya,” saran Azmil, merujuk kepada beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), PH dan Muda yang sedang berdepan kes mahkamah.
Azizuddin juga mencadangkan Anwar meyakinkan golongan muda yang terpengaruh menerusi propaganda dalam talian PN untuk menyokongnya dengan mendekati golongan itu dan mendengar rintihan mereka.
Kedua-dua mereka berpandangan, Anwar tidak perlu menandatangani perjanjian keyakinan dan bekalan (CSA) atau memorandum persefahaman (MoU) dengan PN untuk mengelak sebarang cubaan gabungan itu untuk menjatuhkan kerajaan.
Azmil berkata, ini kerana Anwar sudah mempunyai majoriti stabil untuk menerajui kerajaan perpaduan.
Katanya, CSA hanya relevan bagi kerajaan minoriti, manakala Azizuddin berkata, MoU boleh dilakukan antara komponen dalam kerajaan perpaduan bagi memastikan kestabilan kerajaan.
“MoU dan CSA itu dilakukan oleh Ismail (dengan PH) kerana bimbang kerajaannya akan tumbang kerana kurang sokongan dalam kerajaan sendiri untuk beliau kekal sebagai perdana menteri,” katanya.