Disyaki ada hubungan sulit, lelaki maut ditikam

Disyaki ada hubungan sulit, lelaki maut ditikam

Mangsa ditikam selepas suspek mendapati mangsa berdua-dua dengan isterinya dalam kereta.

Polis berkata mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan akibat cedera parah selepas tikaman itu terkena paru-paru.
PETALING JAYA:
Hubungan sulit dengan isteri orang dipercayai punca seorang lelaki maut selepas ditikam di parkir pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, petang semalam.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan, berkata ketika kejadian mangsa bersama wanita yang juga isteri orang sedang berdua-duaan dalam kenderaan sebelum didatangi suami wanita berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek yang ditangkap mengaku ada mencederakan mangsa semasa berada di kawasan parkir kenderaan sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang oleh rakannya bagi mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan dan rawatan awal, pengadu dapati mangsa mengalami kecederaan serius akibat tikaman mengenai paru-paru kanan dan kesan tikaman benda tajam di peha dan bahu kanan mangsa.

“Kemudian mangsa dimasukkan ke zon merah dan menggunakan alat bantuan pernafasan. Pada 11.05 malam, pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Polis turut mereman dua individu iaitu pasangan suami isteri tersebut selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Selain itu beberapa barang rampasan turut dibuat termasuk kenderaan milik mangsa, telefon bimbit, pakaian suspek dan resit pembelian senjata bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.