
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkaitan kes dihadapi Noor Azrina Mohd Azmi.
“Saya benarkan kes ini (Noor Azrina) dibicarakan bersama dengan kes Abu Sahid dan menetapkan sebutan kes pada 6 April untuk serahan dokumen,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Akram berkata, Hakim Mahkamah Sesyen 8, Rosli Ahmad membenarkan permohonan pihaknya memindahkan kes Azrina ke mahkamah itu.
“Sehubungan itu, pihak kami mohon agar kes membabitkan Noor Azrina dibicarakan bersama dengan kes Abu Sahid kerana ia membabitkan transaksi yang sama dan saya percaya perkara ini tidak dibantah pihak pembelaan,” katanya yang turut disahkan peguam Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid.
Azrina, 49, didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 Nov 2017 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Abu Sahid, 75, sebagai pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta wang milik syarikat yang diamahkan kepadanya dalam akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini, antara 3 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau turut berdepan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.
Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama dan hukuman serupa.