‘Superman’ Hew direman 4 hari kerana kenyataan ‘menghasut’

‘Superman’ Hew direman 4 hari kerana kenyataan ‘menghasut’

Pasukan peguam Hew mungkin mohon semakan Mahkamah Tinggi mengenai perintah reman berkenaan.

‘Superman’ Hew Kuan Yew telah ditahan di rumahnya di Puchong pada malam Selasa.
PETALING JAYA:
Polis telah mendapatkan perintah reman empat hari terhadap Hew Kuan Yew, yang lebih dikenali sebagai Superman Hew, bagi menyiasatnya berhubung dakwaan membuat kenyataan menghasut dalam satu ceramah.

Dalam rakaman video yang tular minggu lalu, Hew dikatakan memberitahu hadirin dalam satu ceramah Pakatan Harapan bahawa masyarakat Cina harus mengambil kesempatan daripada perpecahan Melayu.

Peguam Vince Tan berkata majistret membenarkan perintah reman itu ketika prosiding ikat jamin dilakukan di ibu pejabat polis Dang Wang hari ini walaupun ia dibantah.

“Kami mengambil pendirian bahawa polis boleh menyelesaikan siasatan mereka tanpa menahan Hew,” katanya kepada FMT.

Tan berkata pasukan peguam Hew kini membincangkan kemungkinan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi esok bagi mencabar perintah reman itu.

Beliau berkata Hew ditahan di rumahnya di Puchong malam tadi.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Pahang Ramli Yoosuf berkata ucapan Hew, yang disampaikan dalam bahasa Kantonis di Raub pada 17 Nov, mengandungi unsur-unsur yang didakwa boleh mengancam ketenteraman awam.

Hew disiasat mengikut Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi,” katanya.

Ramli menambah, Hew juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana ucapannya pada program politik di Taman Pandan Mawar, Melaka, pada 18 Nov.

Tan berkata anak guamnya juga disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Hew meninggalkan DAP pada 2016 susulan kritikan terhadap kenyataannya berhubung tuntutan Laut China Selatan.

Selepas videonya minggu lalu tular, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pendirian Hew tidak menggambarkan pendirian PH mengenai perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.