Trio BN keluar Istana Negara selepas 40 minit

Trio BN keluar Istana Negara selepas 40 minit

Hanya tiga pemimpin BN daripada gabungan itu dilihat masuk ke Istana Negara, kira-kira 10.40 pagi tadi.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Istana Negara, kira-kira 11.23 pagi.
PETALING JAYA:
Tiga pemimpin tinggi Barisan Nasional (BN) meninggalkan Istana Negara selepas sembah menghadap dengan Yang di-Pertuan Agong, kira-kira selama 40 minit.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Mohamad Hasan dan setiausaha agungnya, Zambry Abd Kadir, meninggalkan Istana Negara, kira-kira 11.23 pagi tadi.

Walaupun Istana Negara dalam kenyataan, semalam, menitahkan kesemua 30 Ahli Parlimen sembah menghadap dengan baginda pagi ini, tidak jelas sama ada perkara itu akan berlaku.

Terdahulu, ketiga-tiga pemimpin BN itu tiba kira-kira 10.40 pagi, manakala Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiba sejurus kemudian.

Pada Sabtu, Pengerusi GPS Abang Johari Openg, berkata gabungan itu bersedia membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, selepas BN menafikan bersetuju menubuhkan kerajaan, GPS berkata, mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan baginda memutuskan apa yang terbaik kepada rakyat.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, berkata Dewan Tertinggi BN memutuskan kekal menjadi pembangkang, berbanding bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.