
Mereka turut diminta mengemukakan nama calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum 2 petang esok, menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan.
Ini susulan keputusan PRU15 semalam yang menyaksikan tiada mana-mana gabungan memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan bersendirian.
Pakatan Harapan bersama Muda memperoleh kerusi Parlimen paling banyak iaitu 82.
Ia diikuti Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30) Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan dua bebas.
Fadil dalam kenyataan berkata, Istana Negara menerima keputusan rasmi pilihan raya umum semalam daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.15 petang.
Dokumen yang disampaikan Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh jelas menunjukkan tiada satu pun parti politik yang memperoleh majoriti mudah yang membolehkan ia membentuk kerajaan.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menitahkan ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak diminta memaklumkan kepada Istana Negara gabungan parti parti politik yang telah dipersetujui antara mereka bagi pembentukan kerajaan baharu.
“Ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik diminta mengemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat nama seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon perdana menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang esok.
“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan perdana menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad,” katanya.
Fadil berkata, Seri Paduka Baginda juga menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara.
Tambahnya, baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.