
VoteMalaysia yang diterajui sekumpulan anak muda itu dalam satu kenyataan berkata, semua 35,092 undi pos yang yang dikumpul itu berjaya dibawa pulang dan dihantar ke 216 pusat pengundian yang menerima undi pos dari luar negara.
“Tanpa bantuan hampir 200 sukarelawan, mustahil untuk pengagihan undi pos dilakukan dengan cepat dan lancar, serta sempat dihantar ke segala pelusuk tanah air.
“Kami juga berterima kasih kepada Global Bersih dan Global Malaysian Network di atas usaha menyakinkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi pos dan membawa pulang undi pos dari serata dunia,” kata kenyataan itu.
Kertas undi pos itu dibawa pulang di seluruh pelusuk dunia termasuk United Kingdom, Jepun, Australia, Qatar dan Korea Selatan.
VoteMalaysia juga berjaya meningkatkan bilangan pendaftaran undi pos luar negara sebanyak 603% dengan 48,109 pengundi berbanding 7,979 pada 2018.
“Kami ingin tekankan bahawa kejayaan inisiatif VoteMalaysia, merupakan tanda kegagalan buat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
“Sistem yang lebih efektif harus dilaksanakan secepat mungkin, supaya pengundi pos luar negara tidak perlu terus bergantung kepada kumpulan masyarakat atau terpaksa pulang sendiri, kerana sistem penghantaran dan pengendalian undi pos yang bermasalah,” kata kenyataan itu.