
Dalam kenyataan malam ini, beliau menafikan klip video tersebar di TikTok yang didakwanya disunting kepada 1 minit 35 saat daripada ucapannya kira-kira 55 minit.
Muhyiddin dikecam pemimpin DAP dan PKR atas kenyataannya yang dikatakan, Pakatan Harapan (PH) terbabit dalam agenda “mengkristiankan” negara dan sekumpulan Yahudi mahu PH menang pilihan raya umum ke-15.
Tetapi, beliau dalam kenyataan malam ini berkata: “Untuk rekod, saya mengulas klip video yang tersebar ketika tempoh pilihan raya ini, di mana sebuah kumpulan agama asing secara khusus dilihat mendoakan kerajaan jatuh ke tangan pembangkang.”
Muhyhiddin berkata, beliau dalam ucapan itu mengulangi komitmen PN terhadap keadilan dan kesaksamaan.
“Seluruh ucapan saya untuk menggalakkan kestabilan, kedaulatan undang-undang, keadilan untuk semua kaum dan agama serta menegakkan kedaulatan undang-undang.”
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau secara khusus dan jelas bercakap mengenai keperluan untuk kestabilan politik dan keperluan mengelakkan rasuah.
Beliau turut bercakap mengenai keperluan untuk DAP menunjukkan kekangan dalam tuntutannya dan menghormati hak semua kaum, termasuk hak istimewa orang Melayu dan raja-raja.
“Malah, pada 48 minit ucapan itu, saya menyatakan hasrat PN untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama supaya tiada orang yang ketinggalan. Saya kata: ‘Semua orang perlu maju. Orang Melayu, Cina, India mesti berkongsi. Supaya kemakmuran negara kita dapat dikongsi semua kaum.”
Dalam klip video itu yang tular, Muhyiddin didakwa berkata, sekumpulan Yahudi mahu PH menang esok dan mendakwa gabungan itu bekerjasama dengan Yahudi serta orang Kristian untuk “menjajah” negara.
Beliau juga dikatakan mendakwa ada orang Melayu ke gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada Ahad.
Terdahulul, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Muhyiddin mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Justeru, katanya, PKR bercadang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin, yang boleh menyebabkan beliau terpaksa mengosongkan Parlimen Pagoh, jika berjaya mempertahankan kerusi itu esok.