
Dia tidak menerima bantuan kerajaan dan terpaksa meminjam daripada rakan dan keluarga untuk membayar gaji pekerja dan meneruskan operasi perniagaan.
Ketika dia bersedia untuk membuang undi pada pilihan raya umum esok, Zamri berkata, dia akan memilih calon yang boleh membantu menangani kerugian kewangan dan kelembapan ekonomi.
“Sebagai peniaga, kami tidak nampak kerajaan membantu atau memberikan (bantuan). Apa yang kita harapkan daripada calon yang akan mengetuai kawasan ini ialah bersikap jujur dan membantu orang ramai,” katanya.
Prospek ekonomi dan tekanan inflasi yang meningkat adalah isu utama bagi rakyat Malaysia dalam pilihan raya yang datang di tengah-tengah jangkaan berlakunya kelembapan pertumbuhan.
Rakyat juga kecewa dengan ketidakstabilan politik baru-baru ini yang dirasakan telah mengalih tumpuan ahli politik daripada melihat kepada pembangunan ekonomi.
Sejak 2018, Malaysia telah menyaksikan pelantikan tiga perdana menteri dan kejatuhan dua gabungan disebabkan kerana perebutan kuasa dalam kalangan puak.
PRU15 dijangka menjadi persaingan yang sangat sengit antara tiga gabungan utama yang diketuai oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Barisan Nasional, yang kalah pada pilihan raya umum pada 2018 akibat dakwaan rasuah yang berleluasa, cuba memulihkan imejnya sebagai pihak yang paling selamat untuk menguruskan ekonomi.
Bekas perdana menteri Najib Razak dipenjara 12 tahun kerana rasuah berhubung skandal 1MDB berbilion dolar. Beberapa pemimpin lain juga berdepan tuduhan rasuah.
Anwar dan Muhyiddin telah bekerjasama untuk menjatuhkan Najib pada 2018, dan menjadi sekutu dalam kerajaan gabungan jangka pendek berikutnya yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia, yang sekali lagi bertanding pada usia 97 tahun.
BN telah berjanji untuk menyediakan bantuan bulanan kepada isi rumah berpendapatan rendah, sistem asuhan dan pendidikan awal percuma dan mengurangkan cukai dalam usaha menangani kebimbangan pengundi mengenai inflasi.
Anwar juga berikrar untuk mengutamakan ekonomi dan inflasi. Gabungan Pakatan Harapan (PH) dipimpinnya itu menawarkan insentif pengeluaran dan penghapusan kartel untuk mengurangkan kenaikan harga keperluan makanan.
Kira-kira 74% rakyat Malaysia yang ditinjau oleh tinjauan bebas Merdeka Center mengenal pasti “kebimbangan ekonomi” sebagai masalah terbesar negara.
Inflasi dan peningkatan pertumbuhan ekonomi berada dalam lima kebimbangan teratas pengundi, menurut tinjauan Merdeka Center yang dijalankan pada Oktober.
“Kos sara hidup pasti akan menjadi sesuatu yang kerajaan baharu perlu fokus,” kata Arinah Najwa Ahmad Said, penganalisis kanan di perundingan risiko politik Bower Group Asia.
“Kerajaan baharu juga perlu menangani faedah pengangguran kerana syarikat memberhentikan pekerja ketika jangkaan masa hadapan yang sukar,” katanya.