1 pusat undi di Parlimen Sepang ditukar lokasi akibat banjir

1 pusat undi di Parlimen Sepang ditukar lokasi akibat banjir

Pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil dilanda banjir dan tenggelam sepenuhnya semalam.

Pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil ditukar ke Sekolah Rendah Agama Dengkil.
SHAH ALAM:
Satu pusat mengundi di Parlimen Sepang, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil ditukarkan ke lokasi baharu di Sekolah Rendah Agama Dengkil, setelah bangunan berkenaan terjejas akibat banjir.

Berdasarkan salinan surat daripada Pegawai Pengurus Pusat Mengundi Parlimen Sepang, Abd Hamid Hussain kepada Pejabat Pilihan Raya Selangor, ia menyatakan pusat mengundi itu mengalami banjir dan tenggelam sepenuhnya semalam.

Susulan itu, Hamid menerusi suratnya bertarikh 17 Nov memohon Pilihan Raya Negeri menukar pusat mengundi itu ke Sekolah Rendah Agama Dengkil.

Pengarah Pilihan Raya Negeri, Shafie Taib pula hari ini menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara itu untuk tujuan pewartaan semula pusat mengundi berkenaan.

Parlimen Sepang menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan calon Barisan Nasional, Anuar Basiran, Perikatan Nasional diwakili Rina Harun, Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (Pakatan Harapan), Daud Leong Abdullah mewakili Parti Utama Rakyat (PUR), R Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia), Syahrul Amri Mat Sari (bebas) dan M Muneswaran (bebas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.