
Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara memberitahu FMT manifesto yang dibentangkan BN, Pakatan Harapan, dan Perikatan Nasional “realistik” dan “menarik” kerana merangkumi semua isu-isu utama dari segi ekonomi dan sosial.
“Semua parti telah belajar untuk memastikan manifesto menjadi lebih realistik dan menarik,” kata Azizuddin, yang percaya pengundi akan sukar memilih manifesto yang terbaik.
“Pengundi akan lihat faktor parti dan calon untuk buat keputusan, termasuk faktor rakan sebaya, keluarga dan media,” tambahnya.
Sementara itu, Azmi berkata janji BN untuk melantik pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR( dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Parlimen menjadikan tawaran gabungan itu lebih menarik untuk pengundi yang mahukan perubahan jangka masa panjang.
Manifesto BN juga lebih realistik kerana ia bersandarkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Oktober lalu, sebelum Parlimen dibubarkan, tambahnya.
Misalnya, rancangan BN untuk membasmi kemiskinan berkait dengan strategi dalam belanjawan itu.
“Dalam belanjawan itu ada strategi yang terperinci dan berkait dengan Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.
Azmi berkata manifesto BN membincangkan rantaian makanan, alam sekitar, meningkatkan mutu pendidikan, dan hak kerakyatan anak-anak hasil perkahwinan ibu memegang kerakyatan Malaysia dengan bapa warga asing yang lahir di luar negara.