
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata MA63 akan menjadi janji yang akan ditunaikan kepada rakyat Sabah sekiranya PN menang pilihan raya tersebut.
“Orang Sabah yang ada (dalam dewan) sebar luas, ini janji presiden yang akan kita tunaikan dan laksanakan,” katanya ketika ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam.
Terdahulu, Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee dalam ucapannya berkata tiada satu pun kerajaan persekutuan yang benar-benar menghormati MA63 seperti termaktub dalam Perlembagaan persekutuan khususnya dalam mengembalikan bayaran 40% hasil bersih kepada Sabah.
Menurut Ahli Parlimen Beluran itu lagi, walaupun Muhyiddin pernah menyatakan komitmen dan menghormati hak-hak yang diperuntukkan dalam MA63 kepada Sabah dan Sarawak namun ia masih tidak mencukupi.
Sementara itu, Muhyiddin dalam sidang media berkata, beliau maklum ucapan Kiandee berkaitan MA63 itu dan menegaskan Sabah mesti mempunyai hasil seperti yang dituntut dalam perlembagaan.
“Kami dalam Bersatu dan PN bersetuju dengan perkara itu (MA63). Dalam PRN Sabah ia akan menjadi satu teras, ini janji kita dalam manifesto PRN Sabah nanti,” katanya.
Ditanya pemberita tentang ‘poster boy’ atau calon ketua menteri PN, Muhyiddin berkata ia antara topik yang akan dibincangkan pada mesyuarant gabungan itu minggu depan.
Mesyuarat itu juga akan membincangkan sama ada PN akan bertanding solo atau bersama gabungan parti lain di Sabah.