Manifesto MA63 bukan retorik politik PN, kata pemimpin Bersatu

Manifesto MA63 bukan retorik politik PN, kata pemimpin Bersatu

Muhammad Affan Jumahat berkata Bersatu mahu menunaikan tuntutan pembayaran semula 40% hasil Sabah ika menang PRN negeri itu.

BERSATU
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2024 setuju tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 jadi perkara utama dalam manifesto PN pada PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Bersatu menepis kenyataan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin bahawa parti itu mahu bermain retorik politik apabila bercadang menjadikan tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63) sebagai perkara utama dalam manifesto pada PRN negeri itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Muhammad Affan Jumahat sebaliknya berkata mereka menghormati dan mahu menunaikan tuntutan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan yang berkait pembayaran semula 40% daripada hasil negeri itu.

Beliau mendakwa kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim masih gagal menunaikannya dan keliru berhubung peruntukan wajib seperti termaktub dalam Perkara 109 Perlembagaan.

Menurutnya, ia meliputi geran pemberian mengikut jumlah individu, penyelenggaraan raya dan berdasarkan tahap pembangunan ekonomi serta infrastruktur.

“Tidak seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Bersatu dan Perikatan Nasional menjadi berhasrat menghormati dan menunaikan tuntutan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

“Ia akan dijadikan sebagai salah satu tawaran utama dalam manifesto PRN Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, FMT melaporkan Bung berkata PN hanya mahu bermain retorik politik apabila bercadang menjadikan tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63) sebagai perkara utama dalam manifesto PRN negeri itu.

Menurutnya, ini kerana kebanyakan tuntutan dalam itu telah hampir diselesaikan yang giat dimulakan apabila BN mula mentadbir negeri itu sejak 1994 dan kini diteruskan bawah kerajaan perpaduan.

Ahad lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata tuntutan dalam MA63 akan dijadikan sebagai induk manifesto gabungan itu pada PRN Sabah.

Mengulas lanjut Affan mempersoalkan sama ada Bung masih ingat bahawa beliau pernah memperlekehkan rakyat Sabah mengenai hasil 40% bayaran balik hasil kepada Sabah dan Sarawak.

“Bung pernah kata negara berisiko muflis jika 40% hasil dikembalikan kepada Sabah,” dakwanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.