
Penganalisis keselamatan dan politik, Noor Nirwandy Mat Noordin daripada Universiti Teknologi Mara berkata PH mungkin peroleh kelebihan sekiranya undi Melayu berpecah di Ledang, Bakri, Muar, Simpang Renggam, Kulai, dan Johor Bahru, jika jumlah keluar mengundi mengatasi 60% pada PRN Johor.
“Semua pecah undi beri kelebihan pada PH disebabkan momentum memihak pada BN pada PRN Johor yang lepas,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, perpecahan undi yang memberi kelebihan kepada PH hanya akan berlaku sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi, tambahnya.
Nirwandy menarik perhatian FMT kepada Simpang Renggam, yang “dijangka memihak kepada BN dalam keadaan undi rendah”.
Ketika Ledang menyaksikan pertembungan antara enam calon Melayu, membabitkan PH, BN, PN, dan Pejuang serta dua calon bebas; Bakri direbut oleh calon Cina daripada PH dan BN, seorang calon India mewakili PN, dan seorang calon bebas berketurunan Melayu.
Perpecahan undi Melayu dijangka beri kelebihan kepada PH di Ledang memandangkan kawasan itu mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang besar.
Bakri dijangka lebih sengit, menurut calon PH, Lee Ching Yong, kerana kali ini tiada gelombang menolak BN seperti pada 2018.
“Ramai kata Bakri selamat tapi tak boleh lihat macam itu,” katanya.
Muar menyaksikan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dicabar calon Melayu daripada BN dan PN; manakala bekas menteri Maszlee Malik ditentang bekas menteri besar, Hasni Mohammad, dan calon Melayu daripada PN dan Pejuang di Simpang Renggam.
Pengundi Muar memberitahu FMT mereka mahukan wakil rakyat yang bukan hanya pandai bercakap – sentimen yang menimbulkan persoalan mengenai peluang Syed Saddiq di situ.
“Bila kamu bermain ‘wayang’, tunjuk pondok, (tapi) bukan rumah penduduk yang susah, orang kampung marah dan menyusahkan ketua-ketua kampung di Muar,” kata Saiful Mohd, tanpa menamakan sesiapa.
Di Simpang Renggam, pengundi Cina dikatakan condong ke arah Maszlee, manakala Hasni popular dalam kalangan masyarakat Melayu di sebalik potensi undi pecah antara BN, PN, dan Pejuang.
Pertandingan di Kulai antara PH, BN, PN dengan masing-masing mempertaruhkan calon berketurunan Cina; berbanding di Johor Bahru yang menyaksikan persaingan antara calon Melayu daripada PH, BN, PN, dan Pejuang.
Di Pagoh, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dicabar calon BN, Razali Ibrahim, dan calon PH, Iskandar Shah Abd Rahman.
Nirwandy berkata perpecahan undi Melayu di Pagoh mungkin tidak akan membantu PH.
“Pagoh akan sengit disebabkan kuatnya pengaruh Muhyiddin,” katanya.
Di selatan, kerusi Pulai, Tebrau, dan Iskandar Puteri dijangka mudah untuk PH; manakala Pontian, Ayer Hitam, Kota Tinggi, Tenggara, dan Tanjung Piai diramal memihak kepada BN.
Secara keseluruhan, Nirwandy berkata kadar keluar mengundi yang rendah dan sederhana akan memberi kelebihan kepada BN.
“Undi tinggi akan membuka ruang kepada gabungan lain menandingi Umno dan BN,” katanya.
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata cabaran untuk PH ketika ini adalah meyakinkan pengundi akan peluang gabungan itu.
“Seperti pada PRN Johor, PH perlu meyakinkan pengundi bahawa mereka boleh memenangi pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata PH mungkin masih mendominasi kebanyakan kerusi campuran, “namun mereka akan menghadapi kesukaran yang besar untuk menembusi kerusi majoriti Melayu.”