GPS tak komited, blok Borneo kekal impian, kata penganalisis

GPS tak komited, blok Borneo kekal impian, kata penganalisis

Penganalisis berkata GPS kekal berhati-hati kerana parti politik tempatan di Sabah dilihat berpecah-belah.

GPS tidak yakin bahawa parti di Sabah boleh memainkan peranan yang bermakna dalam memperjuangkan hak Borneo, kata seorang penganalisis.
KOTA KINABALU:
Kerjasama Blok Borneo antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti di Sabah akan kekal sebagai ‘impian’ kerana gabungan berkenaan dilihat tidak komited dengan cadangan itu, kata seorang penganalisis.

Blok itu pertama kali dicetuskan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan, pada 2018. Pada masa itu, presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) ketika itu, mendiang James Jemut Masing, menyokong idea berkenaan, sambil berkata, ia patut dipertimbangkan.

Warisan telah menjadikan cadangan blok Borneo sebagai tema kempen dan mengedarkan bahan publisiti mengandungi logo GPS bersama logo Warisan.

Bagaimanapun, GPS masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung pakatan rasmi dengan Warisan atau mana-mana pihak di Sabah.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Arnold Puyok, berkata ia dapat difahami mengapa GPS kekal berhati-hati kerana parti politik tempatan di Sabah dilihat berpecah-belah, bukan sahaja dari segi sokongan akar umbi, tetapi juga pendekatan mereka terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya rasa GPS sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti di Sabah yang mempunyai visi yang sama untuk menyebarkan agenda Borneo.

“Nampaknya, semua orang menumpang GPS, tetapi GPS bergerak dalam persekitaran berbeza. Ia mempunyai pengaruh politik untuk bergerak secara bebas,” katanya.

Puyok berkata, ia bukan mudah untuk parti tempatan di Sabah untuk mencontohi GPS didorong beberapa sebab.

“Politik Sarawak kekal terlindung daripada politik di Semenanjung,” katanya. “Jadi, GPS menggunakan ini untuk mengawal naratif ‘Sarawak first’ dan menyatukan kawalan tempatannya.”

Selain itu, katanya, pemimpin Sarawak mahir dalam MA63, dan tidak percaya pemimpin Sabah boleh menandingi mendiang Adenan Satem dan Premier, Abang Johari Openg dari segi cara mereka mengutarakan dan melaksanakan perjanjian itu.

Dari segi kekuatan politik parti tempatan di Sabah, Puyok berkata, gabungan tempatan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dianggap “masih baharu”.

“Kami tidak melihat pemimpin GRS sering bercakap mengenainya (blok Borneo) dan bagaimana mereka ingin mengubahnya menjadi sesuatu yang ketara.

“Secara politiknya, GRS masih rapuh. Kita telah melihat pemberontakan, tikam belakang dan ‘pusingan U’ walaupun sebelum pilihan raya. Saya ragu GRS boleh bertahan selepas PRU15,” katanya.

Menurutnya, Warisan juga mempunyai masalah dan beliau tertanya-tanya bagaimana parti itu akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung, sedangkan ia tidak boleh menang di Sabah.

“Ada yang mempersoalkan di mana keutamaan parti, di Sabah atau Semenanjung? Ia mengatakan ia mahu menjadi entiti bebas, tetapi asas politiknya telah dilemahkan oleh beberapa siri pembelotan kepada GRS, BN dan PKDM (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat),” katanya.

Sementara itu, Puyok berkata, walaupun GPS mengalu-alukan idea blok Borneo, gabungan itu lebih suka menunggu sehingga yakin bahawa parti di Sabah boleh memainkan peranan mereka mendapatkan semula hak Borneo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.