Beri pelepasan cuti am Jumaat, Sabtu, majikan swasta diberitahu

Beri pelepasan cuti am Jumaat, Sabtu, majikan swasta diberitahu

Pelepasan cuti am pada Jumaat dan Sabtu ini bagi memberi peluang kepada pekerja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) adalah cuti am diperuntukkan kepada pekerja sektor swasta menurut Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955.
KUALA LUMPUR:
Menteri Sumber Manusia M Saravanan menggesa majikan sektor swasta mempertimbangkan pelepasan cuti am pada Jumaat dan Sabtu ini bagi memberi peluang kepada pekerja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Beliau berkata, hal ini bagi memenuhi tujuan dan hasrat pemberian hari kelepasan itu oleh kerajaan persekutuan dalam menggalakkan rakyat Malaysia keluar mengundi sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Katanya, cuti umum itu diisytiharkan bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang merupakan cuti am diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955.

“Menurut peruntukan ini, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Saravanan berkata, majikan dikehendaki memaklumkan kepada pekerja sama ada memilih tarikh pada 18 dan 19 Nov sebagai hari cuti am atau menggantikannya dengan tarikh lain.

Sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh berkenaan layak menerima kadar gaji bagi cuti am, katanya.

Kerajaan mengumumkan cuti umum di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu ini untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi, manakala negeri yang menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan maka Ahad, 20 Nov ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.