
Keadaan banjir di Pulau Pinang semakin pulih, selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi yang menempatkan 37 mangsa daripada lapan keluarga ditutup sepenuhnya pada Isnin.
Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kilat di enam PPS dalam daerah Segamat, Kluang, Pontian dan Tangkak meningkat kepada 318 orang berbanding 310 orang pada 4 petang Isnin.
Cuaca di beberapa daerah dilaporkan mendung, termasuk Batu Pahat, Johor Bahru dan Pontian.
Di Melaka, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir di dua PPS di Alor Gajah meningkat kepada 51 orang daripada 16 keluarga berbanding 41 individu daripada 12 keluarga pada 8 pagi Isnin.
Seramai 12 orang daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Gadek, manakala PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal menempatkan 39 individu daripada 10 keluarga.
“Semua mangsa terjejas itu dari Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Belimbing, manakala satu kawasan lain turut dinaiki air di Melaka Tengah, iaitu Taman Bukit Beruang Bestari, namun tiada PPS dibuka.”
Di Kelantan, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir masih meningkat dengan 2,124 orang daripada 713 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pasir Mas setakat 9 malam tadi berbanding 2,076 individu daripada 693 keluarga petang Isnin.
Mengikut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan bacaan melepasi paras amaran dengan 9.34m.
Di Perak, setakat 9 malam tadi, terdapat 254 mangsa di enam PPS, iaitu SK Changkat Lobak di Kerian, Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Dewan Orang Ramai Kampung Piandang di Siputeh, Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang, Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt dan Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.
Jumlah mangsa banjir di SK Changkat Lobak merekodkan sedikit peningkatan kepada 34 individu berbanding 10 orang petang tadi, selain pertambahan empat mangsa di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang di daerah Larut Matang dan Selama pula menunjukkan trend penurunan dengan 12 individu daripada dua keluarga berbanding 40 mangsa sebelum ini.
Di Selangor, laman sesawang InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir terus merekodkan penurunan kepada 126 orang daripada 36 keluarga berbanding 144 individu daripada 44 keluarga petang Isnin.
Sebanyak tiga PPS masih beroperasi berbanding enam pada pagi Isnin, iaitu SK Sungai Sireh, Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai.