
Sumber dipetik Utusan Malaysia berkata, daftar pemilih biasanya dibeli parti politik bagi tujuan semakan pengundi.
“Oleh itu, bagi mereka, terutamanya parti-parti politik yang membeli data-data ini perlu bertanggungjawab untuk menjaga kerahsiaan maklumat agar data ini tidak disalahgunakan,” katanya.
Berdasarkan soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan SPR berkaitan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), penjualan daftar pemilih dalam bentuk buku dan “softcopy” hanya mengandungi nama pengundi, nombor kad pengenalan, tempat, pusat dan daerah mengundi, kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daftar pemilih boleh dibeli untuk semua kawasan Parlimen atau DUN bagi sebuah negeri atau hanya satu kawasan Parlimen atau DUN.
Ia dijual pada harga RM1,576 hingga RM29,512.80 mengikut negeri, dengan senarai untuk seluruh negara berharga RM170,128.60.
Tetapi, daftar pemilih dalam format buku dan CD diberikan secara percuma kepada calon yang disahkan bertanding pada PRU15 pada 5 Nov lalu.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR yang dijual pada harga RM9,401 di pangkalan data terkenal.
Difahamkan, maklumat peribadi itu mengandungi nama penuh, gambar pengundi dan kad pengenalan, nombor telefon serta alamat.
Maklumat itu didakwa sebahagian daripada data Electronic Know Your Customer (eKYC) sistem MySPR yang dikumpul pada 2019, apabila orang ramai mendaftarkan diri sebagai pengundi dalam talian melalui laman sesawang Daftar MySPR yang baharu dilancarkan.