
Terdahulu, Abdullah mengesahkan beliau dan lawannya daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Helmy Abd Latif dijemput ke majlis malam ini.
“Jadi, saya menghormati program tersebut, tapi saya sudah beritahu pihak penganjur, saya tidak dapat hadir kerana program saya sudah diatur lebih awal, sebab nak jumpa pengundi seramai mungkin,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Medan Selera Tanjong Emas.
Pesuruhjaya PAS Johor itu berkata, tindakan beliau menolak debat itu bukan kerana takut, sebaliknya mahu menggunakan sebaiknya masa berkempen yang berbaki beberapa hari lagi.
“Lepas pilihan raya umum, kita lihat semula. Kalau sesuai dengan tajuk dan sebagainya, kita bersedia,” katanya.
Terdahulu, sebuah NGO rakan siswa menganjurkan “Debat Polisi Parlimen Muar” membabitkan tiga calon di kawasan itu, iaitu BN, PN dan Muda di sebuah hotel malam ini.
Sementara itu, Helmy memaklumkan beliau tidak menerima jemputan ke debat itu dan fokusnya kini menemui seberapa ramai pengundi ketika berkempen.