Anwar mampu tangani masalah ekonomi, alasan Anifah bantu kempen PH

Anwar mampu tangani masalah ekonomi, alasan Anifah bantu kempen PH

Presiden Parti Cinta Sabah itu memutuskan membantu pengerusi PH itu selepas yakin Anwar Ibrahim pemimpin yang mampu menangani kemerosotan ekonomi negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengumumkan Anifah Aman akan membantu kempen gabungan itu di Parlimen Ranau. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas menteri luar, Anifah Aman, berkata beliau memutuskan membantu Anwar Ibrahim memandangkan rakyat memerlukan seorang pemimpin yang mampu menangani kemerosotan ekonomi negara.

Katanya, beliau yakin tanggungjawab itu mampu digalas pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang pernah dinobatkan sebagai menteri kewangan terbaik Asia.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang betul-betul berjiwa rakyat. Jadi, berilah peluang kepada beliau untuk menjadi perdana menteri,” katanya ketika berucap pada ceramah di Sepanggar, malam tadi, lapor Astro Awani.

Dalam pada itu, Anwar mengumumkan presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu akan membantu kempen calon PH di kawasan “pengkhianat” di Ranau.

“Dua hari lagi, Anifah akan bantu kempen di Ranau. Kita mesti menang di sana. Jangan kalah. Sebab, Ranau tempat pengkhianat,” katanya.

Di Parlimen Ranau, PH menampilkan calonnya, Taufik Dahlan, berdepan bekas penyandang, Jonathan Yasin dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Azizul Julirin (Pejuang), Markos Siton (Warisan) dan Ewon Ebin (Parti Bersatu Rakyat Sabah).

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Jonathan menang di kerusi itu di atas tiket PKR dengan majoriti 1,076 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.