Tuduhan ATM undi awal, Hishammuddin minta Anwar jangan keterlaluan

Tuduhan ATM undi awal, Hishammuddin minta Anwar jangan keterlaluan

Hishammuddin Hussein berkata tindakan Anwar Ibrahim cuba menidakkan integriti dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata Anwar Ibrahim semakin keterlaluan kerana mahu mengheret ATM dalam permainan politiknya.
KLUANG:
Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim kononnya ada anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan dibayar untuk berbuat demikian, disifatkan sebagai keterlaluan.

Menyelar kenyataan presiden PKR itu, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, berkata tindakan Anwar itu juga, dilihat sebagai usaha untuk menidakkan integriti dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menerusi kepentingan politik yang sempit.

“Saya lihat tindakan Anwar ini mengheret ATM dalam permainan politiknya itu, bukan sahaja membuat pasukan keselamatan kita marah, tetapi orang ramai juga berpendapat bahawa perlu ada had dan batasan dalam berpolitik,” kata bendahari agung Barisan Nasional (BN) itu kepada pemberita selepas menghadiri Program Jom Santai bersama orang muda Sembrong di Ngepot Kabin, di sini, malam ini.

Hishammuddin berkata, demikian ketika mengulas mengenai dakwaan bekas Ali Parlimen Port Dickson itu, semasa ceramah Pakatan Harapan di Kuala Terengganu semalam, kononnya terdapat kem tentera di Bera, yang melaksanakan undian awal hari ini, selain dikatakan dibayar RM300.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta Anwar menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada anggota ATM, kerana menuduh mereka menerima wang dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan apa yang didakwa sebagai undi awal itu adalah undi pos kepada anggota pasukan keselamatan, yang boleh memohon untuk mengundi secara pos, jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta individu mempunyai maklumat atau bukti berlaku perbuatan sogokan atau rasuah ketika proses pengundian pos di Parlimen Bera, Pahang diminta melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.