
Shahril nampaknya bangga dengan ‘DNA majmuk’ itu, dan mahu menonjolkan Barisan Nasional sebagai gabungan politik untuk semua rakyat.
“Saya sendiri daripada keluarga majmuk. Mak saya Cina, ayah saya Melayu. Dalam keluarga besar saya ada beragama berbeza. Saya sudah biasa dengan kemajmukan, sebagai ‘DNA’ dalam diri saya,” katanya kepada FMT.
Shahril mengulas apa pendekatan beliau untuk menawan hati lebih 30% pengundi di Alor Gajah yang berketurunan bukan Melayu dan dikatakan condong ke arah Pakatan Harapan.
Beliau mencabar bekas penyandang, Mohd Redzuan Md Yusof dari Perikatan Nasional yang juga bekas menteri, dan bersaing dengan bekas ketua menteri, Adly Zahari, dari Pakatan Harapan, serta calon Pejuang.
“Saya tahu saya masuk bertanding kerusi yang susah, tetapi saya Pemuda Umno dan saya tak mengharapkan atau mendesak supaya mendapat karpet merah ataupun kerusi yang mudah,” katanya.
Shahril juga tidak menganggap kejayaan BN memenangi semua lima DUN bawah Parlimen Alor Gajah pada PRN Melaka lepas mencerminkan kekuatan sebenar gabungan itu di situ.
Lima DUN tersebut Rembia (majoriti 860 undi), Gadek (559), Machap Jaya (938), Durian Tunggal (559), dan Asahan (2,993).
“Pengundi luar tidak balik pada waktu itu (PRN Melaka), waktu itu tidak ada dua ‘giant’ bertanding, jadi atas faktor-faktor itu kita kena kerja kuat.
“Waktu PRN dulu kita berada dalam keadaan Covid-19 dan juga pengundi automatik belum lagi berkuat kuasa,” katanya.
Dalam kempennya, Shahril mahu fokus kepada isu berkaitan pendapatan rakyat, usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), peluang pekerjaan, pertanian, pendidikan, serta kesihatan.