
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Salleh Hamzah, 70, mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan itu di hadapan Majistret Teoh Shu Yee, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 46 tahun dengan niat mahu mencabul kehormatannya di sebuah vila di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini pada kira-kira jam 9 pagi 1 November lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mengendalikan pertuduhan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Denial Khairul Hizam.
Terdahulu, Farah Nabihah mencadangkan jaminan RM8,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Namun Muhammad Denial merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain sentiasa memberi kerjasama dan hadir sepanjang siasatan dijalankan.
Menurutnya, tertuduh yang juga guru agama perlu menanggung isteri dan hanya bergantung kepada sumbangan anak serta orang awam sebagai penceramah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 berserta syarat dimohon pendakwaan sementara menunggu perbicaraan kes itu selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 14 April depan bagi serahan dokumen.