
Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) berusia 80 tahun itu berkata, beliau mula berkecimpung sebagai penyelesai masalah bagi pekerja estet, pada 1960-an ketika bertugas sebagai guru di Batu Kawan.
“Aduan pertama yang saya uruskan mengenai jam tangan rosak milik pekerja estet. Perkara itu dapat diselesaikan tanpa sebarang masalah. Saya selepas itu mula mendengar lebih banyak aduan,” katanya kepada FMT.
Ravinder berkata, beliau menjadi sukarelawan bagi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada 1972, berjuang demi menyelesaikan aduan orang biasa. Beliau sanggup berkayuh dari Simpang Ampat, di mana beliau menetap, ke pejabat CAP di kepulauan, iaitu membabitkan sejauh kira-kira 40km setiap tengah hari Sabtu, untuk menyelesaikan aduan.
“Sabtu merupakan kerja separuh hari jadi tempoh itu saya ada kelapangan selepas habis mengajar. Ia bukan semata-mata untuk menyelesaikan aduan sahaja. Kami juga mendidik orang awam berhubung hak mereka sebagai pengguna dan membantu membuat draf surat bagi pihak mereka, justeru memudahkan mereka membuat aduan sendiri pada masa depan,” katanya.
Dalam kerjaya sebagai pengajar, Ravinder juga pernah menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, di Kedah, dan kemudian dilantik sebagai penolong kanan sekolah sebelum memilih bersara awal pada 1993. Beliau mengajar bahasa Melayu dan Inggeris. Selepas persaraan, beliau berjaya mendapat ijazah undang-undang.
Ravinder berkhidmat bersama CAP selama 50 tahun dengan 30 tahun pertama sebagai sukarelawan kemudian diberi tanggungjawab sebagai ketua biro aduan, jawatan yang ditinggalkannya dua tahun lalu susulan pengecilan operasi.

‘The Ugly Sight of Penang’ pacu perubahan
Mengimbau masa lalu, bapa kepada dua anak itu berkata memori yang sentiasa terpahat di ingatannya ketika menjadi aktivis pengguna membabitkan pembentungan tidak terawat yang mencemarkan terusan Pulau Pinang, pada 1974, menerusi gambar udara yang diambil dari pesawat Cessna, milik rakannya.
Pembentangannya yang berjudul “The Ugly Sight of Penang” yang ditayang pada persidangan alam sekitar antarabangsa di negeri itu, pada tahun sama, menjadi pemacu kepada sistem rawatan pembentungan moden.
“Gambar dipaparkan menunjukkan sisa najis tersebar melalui terusan berkenaan dari Jelutong. Ia seperti tompok gergasi hitam di perairan negeri ini.
“Mendiang Lim Chong Eu yang ketika itu ketua menteri Pulau Pinang, merasmikan persidangan dan terkejut dengan pembentangan saya. Beliau kemudian memanggil saya untuk membentangkan dapatan saya itu kepada majlis perbandaran,” katanya.
Ravinder berkata, beliau turut mendedahkan isu pembakaran terbuka dan pencemaran di Sungai Pinang.
Beliau yang dibesarkan dalam keluarga pengembala lembu, berkata kecergasan sentiasa menjadi keutamaan kerana beliau bersama lima adik beradik lain gemar berbasikal. Katanya, semua mereka juga bekerja sebagai penghantar susu dengan berkayuh merentasi pulau dari padang ragut, di Batu Maung, sebelum menuju ke Sekolah St George, di Balik Pulau, untuk hadir ke kelas.

Katanya, makan secara sihat menjadi rutin harian dan memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 minit bersenam setiap hari, termasuk komitmen mendaki bukit pada hujung minggu bersama rakan-rakannya.
Mengulas pembabitannya dalam politik, Ravinder berkata: “Saya enggan jadi ahli politik. Selepas menyedari negara ini memerlukan perubahan yang banyak, terutama berkait pendidikan, saya tidak lagi gundah.
“Kita memerlukan semak dan imbang untuk kerajaan. Kita perlu bermula. Jika tidak berlaku kali ini, pasti berlaku masa lain.”
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Ravinder berdepan saingan enam penjuru di kerusi Bayan Baru. Lawannya terdiri daripada Sim Tze Tzin daripada Pakatan Harapan (PH), yang merupakan bekas penyandang, Saw Yee Fung (Barisan Nasional), Oh Tong Keong (Perikatan Nasional), Jeff Ooi (Warisan), dan calon bebas, Kan Chee Yuen.
Ravinder dikatakan antara calon tertua bertanding di kerusi Parlimen pada hari pengundian 19 Nov ini, selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, 97, dan Tengku Razaleigh Hamzah, 85.