
“Perkara paling sukar (tentang menceburi politik) adalah saya telah membina tempat selamat di jabatan saya (di Universiti Malaya) di mana saya sentiasa dikelilingi oleh pelajar pascasiswazah yang saya sayang.
“Tetapi saya melakukan ini (menceburi politik) untuk mereka dalam tempoh jangka panjang, memandangkan generasi muda mempunyai banyak cabaran untuk diatasi di negara ini,” kata bekas penyelidik yang menghidap spina bifida itu kepada FMT.
Noraishah baru menjadi ahli PKR sebulan lalu namun telah lama berminat dengan politik. Katanya, pengalamannya sebagai orang kurang upaya mencetuskan “suara hati politiknya”.
Beliau kini bertanding di kerusi Putrajaya menentang calon “heavyweight” Barisan Nasional (BN) Tengku Adnan Mansor, Radzi Jidin daripada Perikatan Nasional (PN) dan tiga calon lain.
Noraishah mahu “meningkatkan kualiti kehidupan” di Putrajaya, dengan menangani isu berkaitan infrastruktur, harga makanan, kekurangan pusat asuhan dan pusat tuisyen serta keselamatan kawasan kejiranan.
“Dengan memberi tumpuan terhadap perkara ini, semua orang akan didengar dan diwakili, ini yang saya mahu,” tambahnya.
Beliau berkata, berkempen adalah menyeronokkan dan beliau bersyukur kerana mempunyai pasukan yang membantunya untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Mengenai kritikan oleh segelintir pihak dalam PKR mengenai pencalonannya, Noraishah berkata, kritikan sebegitu tidak menganggunya dan fokusnya hanyalah pada kempen.
“Orang berhak memberi pendapat, kita tidak mahu mereka ditapis. Terlalu banyak tapisan di negara ini,” katanya.
“Tumpuan saya hanya kempen saya dan mempunyai pasukan yang dipercayai adalah paling penting dan kritikal. Saya hanya melakukan yang terbaik semampu saya dalam masa terhad yang saya ada.”
Segelintir pihak dalam PKR mengkritik pencalonan Noraishah memandangkan beliau dinamakan sebagai calon dua minggu selepas menyertai parti itu.
Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Noraishah, Tengku Adnan, Radzi, Rosli Ramli daripada Pejuang dan calon bebas, Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.