Umno tak pernah bincang mahu kerjasama PKR bentuk kerajaan, kata Ismail

Umno tak pernah bincang mahu kerjasama PKR bentuk kerajaan, kata Ismail

Perkara itu setakat ini tidak dibincangkan, namun BN bersedia membentuk kerajaan campuran dengan parti lain jika tiada yang berjaya membentuk kerajaan secara bersendirian.

Perdana Menteri sementara Ismail Sabri Yaakob menghadiri program ramah mesra bersama penduduk Durian Tunggal.
ALOR GAJAH:
Umno setakat ini tidak membuat sebarang perbincangan untuk bekerjasama dengan PKR bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri sementara Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang keputusan besar untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam pembentukan kerajaan akan diputuskan dalam parti.

“…parti perlu buat keputusan, tak boleh secara individu, nak PKR ke, Perikatan Nasional (PN) ke,nak Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika diminta mengulas khabar angin BN akan bekerjasama dengan PKR membentuk kerajaan.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra bersama penduduk Durian Tunggal.

Ismail berkata, BN bagaimanapun bersedia membentuk kerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan campuran jika tiada parti berjaya memerintah secara bersendirian.

“Kalau tak ada satu parti boleh dapat majoriti mudah tentu sahaja perlu ada kerajaan campuran, jika tidak akan jadi Parlimen tergantung.

“Jadi sebab itulah kita tidak tahu lagi ada atau tidak majoriti mudah, tapi saya memang setuju kalau tidak ada parti mempunyai majoriti mudah secara sendiri untuk bentuk kerajaan memang kena ada gabungan,” katanya tanpa menyatakan parti mana dimaksudkan.

Ditanya sama ada Umno akan menerima kembali bekas ahli termasuk Shahidan Kassim menyertai parti jika menang Parlimen Arau, Ismail enggan mengulas lanjut sebaliknya menegaskan fokus kemenangan BN adalah lebih utama.

“Tunggu lepas pilihan raya, terlalu awal nak buat spekulasi, tunggu BN menang dulu baru boleh cerita,” katanya.

Mengulas khabar angin cuti khas 18 November ini bagi memberi ruang kepada rakyat pulang mengundi, selain bayaran awal gaji untuk kakitangan awam, Ismail berkata beliau akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.