
IPOH – Polis Perak membuka kertas siasatan selepas menerima laporan mengenai dakwaan berunsur fitnah terhadap calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah, M Saravanan.
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan dibuat seorang lelaki berusia 47 tahun di balai polis Tapah pada jam 6 petang selepas terbaca komen dan menonton video di media sosial.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.
Yusri juga menasihatkan orang ramai supaya semua bendera, gegantung, poster dan risalah mestilah tidak mengandungi sebarang unsur menghasut, mengaibkan serta boleh menimbulkan gangguan ketenteraman awam.
“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500/504/505 Kanun Keseksaan atau mana-mana undang lain mengikut kesesuaian,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, 11 laporan polis diterima pada Selasa berkaitan pilihan raya umum ke-15 sejak semalam dan tiga kertas siasatan dibuka setakat ini.
Katanya, polis meluluskan permit untuk 159 ceramah di seluruh negara manakala tiga ceramah dikesan dianjurkan tanpa permit.