Masalah gangguan LRT perlu penyelesaian jangka panjang, kata pakar pengangkutan

Masalah gangguan LRT perlu penyelesaian jangka panjang, kata pakar pengangkutan

Kita tidak mampu untuk terus berdepan masalah ini kerana ia bukan sahaja mencetuskan protes daripada orang ramai malah menyebabkan kehilangan produktiviti, kata Wan Agyl Hassan.

Enam belas stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya ditutup semalam. (Gambar Rapid Rail)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa pengendali kereta api Prasarana untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi gangguan berulang terhadap perkhidmatan LRT.

Sebanyak 16 stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya ditutup semalam susulan laluan kereta api tersebut terjejas oleh kerosakan sistem kawalan tren automatik (ATC) yang mengganggu perkhidmatan biasa pada Isnin.

Ramai penumpang menyuarakan kekecewaan berhubung kedua-dua insiden gangguan tersebut di media sosial, dan Wan Agyl Hassan, bekas ketua dasar dan perancangan operasi kumpulan SPAD, berkata “tidak masuk akal melihat” pengguna perkhidmatan kereta api berdepan masalah yang sama berulang kali.

“Prasarana perlu lebih bertanggungjawab. Isu ini telah menjadi norma baharu,” katanya.

Wan Agyl Wan Hassan.

“Kita tidak mampu untuk terus berdepan masalah ini kerana ia bukan sahaja mencetuskan protes daripada orang ramai malah menyebabkan kehilangan produktiviti.

“Kerajaan telah membelanjakan begitu banyak wang untuk pengangkutan kereta api. Malangnya, Prasarana nampaknya tidak dapat mengurusnya dan memenuhi jangkaan pengguna yang paling asas, iaitu kebolehpercayaan.”

Dalam kenyataan media malam tadi, Rapid Rail – anak syarikat Prasarana yang mengurus dan mengendalikan rangkaian LRT dan KL Monorel – berkata pasukan kejuruteraan dan teknikalnya masih sedang mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan di laluan Kelana Jaya.

Katanya, perkhidmatan antara stesen Kelana Jaya dan stesen Ampang Park dihentikan bagi tujuan keselamatan pada 3.03 petang selepas kerosakan sistem ATC dikesan.

Status laluan Kelana Jaya akan sentiasa dikemas kini di media sosialnya, katanya, tetapi ia tidak mendedahkan sama ada laluan itu akan beroperasi hari ini.

Ajit Johl.

Prasarana menjadualkan sidang akhbar pada 10.30 pagi hari ini berhubung insiden gangguan yang berlaku.

Ketika diminta mengulas mengenai gangguan itu, presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Ajit Johl berkata, insiden tersebut telah “menggugat kepercayaan” pengguna LRT

Beliau menggesa Prasarana agar menambah baik pemeriksaan dan audit keselamatannya serta menghebahkan audit tersebut.

Ajit turut mengulangi cadangan yang dibuatnya sebelum ini, agar sebuah tribunal pengangkutan awam ditubuhkan bagi memastikan wujudnya platform untuk pengguna melaporkan gangguan dan berpotensi mendapat pampasan atas kesulitan yang dihadapi.

“Walaupun kita faham masalah boleh timbul, tetapi dua gangguan dalam seminggu tidak boleh diterima,” katanya.

“Orang ramai perlu tahu sama ada gangguan ini disebabkan oleh isu penyelenggaraan dan jika ya, sama ada ia ada kaitan dengan kekurangan dana.

“Saya semestinya tidak akan naik LRT esok.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.