Saman terhadap kerajaan diterus walau Anwar PM, kata Ewon

Saman terhadap kerajaan diterus walau Anwar PM, kata Ewon

Ewon Benedick berkata beliau akan menggunakan peranannya sebagai seorang daripada empat pemimpin tertinggi PH untuk meminta supaya perkara berkaitan hak Sabah dilaksanakan.

Ewon Bennedick berkata PH Sabah tetap tidak akan tarik balik saman terhadap kerajaan sekalipun Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM.
PENAMPANG:
Bakal presiden Upko Ewon Benedick berkata, saman terhadap kerajaan berkaitan tuntutan 40% hasil Sabah yang difailkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di negeri itu tidak akan ditarik balik sekalipun Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon PH di Penampang itu menegaskan, beliau akan menggunakan peranannya sebagai salah seorang daripada empat pemimpin tertinggi PH untuk meminta supaya perkara berkaitan hak Sabah dilaksanakan.

“Saya sudah berbincang dengan majlis pimpinan (PH) berkenaan hak Sabah, (tuntutan hasil negeri) 40% seperti dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia (MA63) sebab ianya sudah dimasukkan dalam manifesto dan tawaran PH.

“Kita tidak akan tarik balik saman yang kita failkan di mahkamah tinggi pada 3 Jun 2020, saya bersama 10 lagi wakil rakyat PH Sabah telah failkan saman ini dan kita tidak akan tarik balik biarpun Anwar jadi PM selepas PH menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan,” katanya dalam sidang media di Bundusan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan saman difailkan itu, Ewon berkata, kerajaan sebelum ini telah memfailkan afidavit mereka bagi membatalkan saman berkenaan.

Katanya, afidavit itu mengatakan bahawa semua wakil rakyat PH Sabah yang memfailkan saman tidak mempunyai locus standi.

“Kami juga akan mengemukakan afidavit untuk membalas affidavit kerajaan itu dan selepas itu kita akan tunggu keputusan mahkamah.

“Bagaimanapun, saya agak yakin keputusan akan berpihak kepada kami kerana perkara itu (hak Sabah) jelas ada dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada 3 Jun 2020, wakil rakyat PH Sabah memfailkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai 40% hasil hak Sabah yang diperoleh kerajaan persekutuan dari Sabah setiap tahun.

Enam Ahli Parlimen dan tujuh ADUN Sabah daripada PH itu telah memulakan saman pemula sebagai plaintif dan menamakan kerajaan Malaysia serta kerajaan Sabah sebagai defendan pertama dan kedua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.