
Lim Chin Hian, rakan kongsi dalam Wong & Partners berkata demikian ketika diperiksa balas oleh peguam Najib, Shafee Abdullah mengenai satu pertemuan.
“Saya 100% pasti saya tidak pernah bertemu Jho Low,” kata Lim.
Shafee berkata, terdapat saksi yang melihat Lim, yang juga dikenali sebagai Mark, rakan kongsinya Brian Chia, dan Jho Low dalam pertemuan itu.
Bagaimanapun, Shafee tidak menyebut bila dan di mana pertemuan ini diadakan.
Lim menafikan menghadiri sebarang pertemuan sebegitu.
Ditanya sama ada Lim sedar bahawa Chia telah menulis pendapat undang-undang untuk mewajarkan pindahan USD700 juta daripada dana 1MDB kepada Good Star Limited, firma yang tiada hubungan perniagaan dengan 1MDB, Lim berkata, Good Star kemudian diketahui sebagai syarikat milik Jho Low.
Pada 2009, 1MDB telah menjalin usaha sama dengan PSI. Mengikut terma kontrak itu, 1MDB perlu mengeluarkan USD1 bilion untuk usaha sama itu.
Keseluruhan USD1 bilion itu sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank usaha sama 1MDB-PSI tetapi hanya USD300 juta dipindahkan.
Lim turut memberitahu mahkamah bahawa beliau membaca pendapat undang-undang Chia buat kali pertama di mahkamah dan hanya mengetahui tentang pergerakan baki USD700 juta daripada dana itu melalui laporan berita.
Shafee: Adakah anda setuju bahawa pendapat undang-undang (oleh Chia) dirumuskan untuk menguntungkan Jho Low dan konco-konconya daripada pasukan pengurusan?
Lim: Saya tidak boleh komen.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion, didakwa dana 1MDB, yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.