Jika menang PRU15, PH ikrar ambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah

Jika menang PRU15, PH ikrar ambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah

ADUN Bukit Gasing yang juga ahli jawatankuasa manifesto PH, Rajiv Rishyakaran berkata matlamat gabungan itu untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di rumah pangsa kos rendah di seluruh negara.

Rajiv Rishyakaran daripada DAP berkata kebanyakan penghuni rumah pangsa kos rendah tidak dapat membentuk jawatankuasa pengurusan sendiri untuk mengendalikan kerja penyelenggaraan asas.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) berikrar untuk mengambil alih kerja penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan membentuk kerajaan persekutuan.

ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, berkata kerja penyelenggaraan untuk rumah pangsa terbabit biasanya menjadi tanggungjawab badan pengurusan bersama atau jawatankuasa pengurusan flat tersebut.

“Bagaimanapun, mereka yang tinggal di rumah pangsa kos rendah menghadapi kesukaran untuk membentuk jawatankuasa pengurusan mereka sendiri.

“Ini kerana majoriti mereka tidak menghadiri mesyuarat agung tahunan dan mereka yang hadir tidak berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP.

Rajiv, ahli jawatankuasa manifesto PH, berkata matlamat PH adalah untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di rumah pangsa kos rendah di seluruh negara.

“Anda boleh mencari dalam talian dan melihat keadaan yang teruk dan kotor di beberapa flat ini. Setiap rakyat Malaysia berhak untuk hidup bermaruah, walaupun yang termiskin di antara kita semua.

“Pada masa ini, penyelenggaraan jalan dan longkang diuruskan oleh kerajaan.

“Jika kerajaan boleh berbuat demikian, maka perkara yang sama boleh dilakukan untuk rumah pangsa kos rendah,” katanya.

Ditanya sama ada pengambilalihan penyelenggaraan rumah pangsa itu memerlukan kos tinggi, Rajiv berkata ia dijangka tidak melebihi RM1 bilion.

PH juga berikrar untuk menangani masalah pinjaman perumahan yang ditolak untuk pembeli rumah kali pertama serta diskriminasi dalam pasaran sewa.

Rajiv berkata, PH akan mengembalikan program jaminan pinjamannya untuk pembeli rumah kali pertama. Skim ini diperkenalkan apabila gabungan itu membentuk kerajaan, dengan RM1 bilion diperuntukkan ketika itu.

Beliau berkata, kali ini PH akan memperuntukkan RM3 bilion untuk skim itu, dengan dana itu bertindak sebagai jaminan untuk bank memberi pinjaman kepada pembeli rumah kali pertama, sekiranya gabungan itu mengambil alih Putrajaya.

Katanya, tribunal perumahan akan ditubuhkan untuk pemilik atau penyewa memfailkan aduan mengenai sebarang diskriminasi dalam pasaran sewa.

“Tribunal adalah lebih baik untuk memfailkan kes kerana yurannya lebih murah. Ia juga tidak memerlukan peguam, menjimatkan ribuan ringgit yuran guaman.

“Tribunal juga lebih berkemungkinan untuk membuat keputusan dengan cepat, pemilik atau penyewa boleh merasa lega dengan lebih cepat selepas melalui kesusahan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.