
Tinjauan yang dibuat oleh FMT di Parlimen berkenaan mendapati, beberapa penduduk tempatan berpuas hati dengan perkhidmatan bekas penyandang tiga penggal parlimen berkenaan.
Menurut Pak Eddy, Zuraida seorang wakil rakyat yang rajin turun padang.
“Saya anak jati Ampang, sejak dulu lagi saya berpuas hati dengan cara kerja Zuraida yang sentiasa mengutamakan semua rakyat di Ampang,” katanya.
Menurutnya, Zuraida sebenarnya tidak ‘melompat’ parti namun dipecat oleh PKR pada tahun 2020 susulan Langkah Sheraton.
Bekas naib presiden PKR itu memenangi kerusi Parlimen Ampang di bawah tiket PKR dengan majoriti 41,956 undi dalam pertandingan empat penjuru – BN, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Zuraida dilantik ke dalam Jemaah Menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN pada 9 Mei 2018.
Bagaimanapun, beliau dipecat daripada PKR bersama bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali selepas menyertai Muhyiddin Yassin menerusi Langkah Sheraton dan menyertai Bersatu. Zuraida kemudian keluar Bersatu menyertai PBM pada Mei lalu.
Sementara itu dua lagi pengundi Ampang yang hanya mahu dikenali sebagai Angela dan Mega turut mengakui kepimpinan Zuraida.
Menurutnya, mereka akan menyokong Zuraida kerana sentiasa mengutamakan pengundi tanpa mengira latar belakang serta mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.
Bagaimanapun, pengundi Ampang yang hanya mahu dikenali sebagai Sugumaran menyuarakan kekecewaan terhadap Zuraida yang disifatkan sebagai mengkhianati mandat rakyat kerana melompat meninggalkan PKR sewaktu Langkah Sheraton.
“Dulu saya undi dia, kali ini saya takkan undi dia lagi,” katanya.
Pada PRU kali ini, Zuraida bakal berdepan dengan persaingan sembilan penjuru dengan pencabar terkuatnya daripada PH iaitu ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail.