
Sebaik selesai penamaan calon hari ini, Mohamad ditentang Nazree Yunus daripada Perikatan Nasional (PN); Jufitri Joha (Pakatan Harapan); S Tinagaran (PSM) dan Ramly Awalluddin (Pejuang).
Pegawai pengurus pilihan raya Rembau, Muhamad Naji Mustapa mengumumkan nama calon bertanding pada 10.30 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, selesai.
Jufitri dan Ramly menjadi calon paling awal tiba di pusat penamaan calon masing-masing pada 8.20 dan 8.30 pagi.
Ia disusuli Tinagaran pada 8.40 pagi, manakala Mohamad dan Nazree masing-masing tiba 8.50 dan 9 pagi.
Sebaik penamaan calon selesai, kedengaran penyokong parti bersorak memberi sokongan kepada calon masing-masing.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian, manakala undi awal ditetapkan, pada 15 Nov.
Parlimen Rembau sebelum ini disandang Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sejak 2008 sebelum beliau dipindahkan bertanding di Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada Mohamad yang juga ADUN Rantau.
Pada PRU lalu, Khairy berjaya mempertahan Rembau untuk penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 4,364 undi dalam pertembungan tiga penjuru antara calon PAS, Mustafa Dolah dan Roseli Abdul Ghani daripada PH.