
Menurut Sin Chew Daily, Bryan Yong, 25, akan bertanding di kerusi itu atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Paul, ahli PBM, sedang bercuti daripada parti itu berikutan sabitan rogolnya awal tahun ini.
Akhbar harian Cina itu melaporkan, Bryan ialah seorang ahli perniagaan yang turut mempunyai ijazah undang-undang daripada universiti di United Kingdom.
Beliau telah menerima watikah pelantikan sebagai calon daripada Presiden PBM Larry Sng.
Bryan berkata, beliau mahu meneruskan kerja bapanya di kawasan itu, sambil memuji Paul sebagai ADUN yang berusaha keras untuk menangani isu penduduk Tronoh.
Katanya, bapanya akan menjadi mentor kepadanya dalam menceburi bidang politik. Beliau yakin bahawa bimbingan bapanya akan membantunya memenangi hati pengundi Tronoh.
Paul, yang juga bekas Exco Perak, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan pada Julai kerana merogol bekas pembantu rumahnya pada 2019.
Mahkamah Tinggi Ipoh telah membenarkan permohonannya supaya hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Beliau meninggalkan DAP pada Mac 2020, tidak lama selepas kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) tumbang.