Terima ‘lamaran’ banyak parti, Zahidi akan pertahan Padang Besar

Terima ‘lamaran’ banyak parti, Zahidi akan pertahan Padang Besar

Penyandang Parlimen Padang Besar itu menyifatkan Umno kini dalam kecelaruan politik dan ramai pemimpin digugurkan mungkin tetap bertanding pada PRU15.

Penyandang Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin belum memutuskan untuk mempertahankan kerusi itu atas tiket gabungan mana pada 19 Nov ini.
PETALING JAYA:
Penyandang Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin mengikut jejak Shahidan Kassim mempertahankan kerusi mereka, selepas digugurkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Zahidi mendakwa menerima “lamaran” banyak parti dan belum memutuskan untuk mempertahankan Parlimen Padang Besar atas tiket gabungan mana.

“Kita akan tengok pada 5 Nov ini (penamaan calon). Sekarang ada perbincangan dan kita lihat di Parlimen Padang Besar, (pertembungan) amat sengit di antara Umno dan calon lain.

“Kita belum dapat menjangka siapa akan menang,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, Shahidan mengesahkan akan mempertahankan Parlimen Arau atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada 19 Nov ini.

Zahidi menjangkakan ramai calon, termasuk bebas akan cuba merebut kerusi Padang Besar.

Beliau menyifatkan Umno kini dalam kecelaruan politik dan ramai pemimpin digugurkan mungkin tetap bertanding pada PRU15.

Dalam pada itu, katanya, Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan yang menggantikannya sebagai calon BN di Padang Besar agak sukar menang kerana bukan pilihan akar umbi Umno bahagian itu.

Zahidi dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, prinsip bagi memilih Ahli Parlimen bagi sesebuah kawasan berdasarkan kriteria anak tempatan, bukannya demi kepentingan pihak tertentu.

“Untuk penerimaan bahagian kepada Zahida mungkin agak sukar memandangkan beliau adalah calon luar dan bukan berasal dari Padang Besar,” katanya menurut laporan akhbar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.