
Pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah di Tasek Gelugor itu yang berkasut pelekat “velcro” bukannya bertali, mendakwa didenda melutut dengan mengangkat tangan oleh seorang guru kanan dalam perhimpunan Selasa lalu.
Dalam laporan polis yang dibuat pelajar itu, beliau mendakwa tali suci atau kayiru yang dipakainya dipotong, selain diarah membuang pottu (tanda hitam) dan abu suci di dahinya.
Chow berkata, Jabatan Pendidikan Negeri mesti mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab, sekiranya dakwaan itu benar.
“Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan tindakan seperti ini.
“Saya berharap Jabatan Pendidikan Negeri mempercepatkan tindakan untuk mengelakkan reaksi dan persepsi negatif pelbagai pihak terhadap institusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang juga pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri mengkritik “hukuman kejam” dengan memalukan pelajar ketika perhimpunan dan “campur tangan” dalam amalan keagamaannya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Radzi Ahmad mengesahkan pelajar itu membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor.
FMT cuba menghubungi Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan sekolah berkenaan untuk mengulas.