Che Abdullah pertahan Tumpat atas tiket BN, kata pengerusi negeri

Che Abdullah pertahan Tumpat atas tiket BN, kata pengerusi negeri

Pengerusi BN Kelantan berkata penyandang Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi, yang tidak tersenarai sebagai calon PN, akan bertanding mewakili BN.

Pengerusi BN Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata pihaknya memberi laluan kepada Che Abdullah Mat Nawi kerana dianggap sebagai calon boleh menang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi akan bertanding mewakili gabungan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, berkata BN memberi laluan kepada Che Abdullah kerana dianggap sebagai calon boleh menang.

“Teka-teki sudah terjawab dan Che Abdullah akan bertanding atas tiket BN di Parlimen Tumpat. Kita rasa satu kelegaan apabila Che Abdullah bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

“Malah, akar umbi Umno Tumpat juga menerima baik kehadiran Che Abdullah,” katanya menurut Berita Harian.

Jazlan berkata, pihaknya akan memberikan saingan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) di Parlimen itu.

“Kita akui menawarkan kerusi berkenaan kepada Che Abdullah dan BN memang mengadakan pertemuan dengan beliau,” katanya.

Pada majlis pengisytiharan calon PN Kelantan malam tadi, penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan penyandang Parlimen Tumpat, Che Abdullah, masing-masing daripada PAS digugurkan daripada senarai calon PN pada PRU15.

Pengerusi PN Kelantan, Ahmad Yakob, berkata Parlimen Bachok menyaksikan PN meletakkan muka baharu, Muhamad Syahir Che Sulaiman sebagai calon.

Bagi kerusi Parlimen Tumpat, PN mengumumkan exco Kelantan, Mumtaz Md Nawi sebagai calon di kerusi berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.