
Katanya, beliau terkejut “sebaik saja pencalonannya untuk Parlimen Kepala Batas diumumkan Muda, orang mula mencari hantaran lama Twitter saya” yang menunjukkan beliau menyokong BN.
Danial dikritik di media sosial selepas dua hantaran Twitternya pada sembilan tahun lalu muncul semula.
Beliau tidak menafikan pernah menyokong BN dan membuat hantaran itu pada 2013.
Tweet kontroversi itu dimuat naik pada hari pengundian pada Mei 2013 dan satu lagi keesokannya.
“Selamanya dan sentiasa menjadi pengundi Barisan Nasional, Insya Allah”, katanya dalam hantaran itu dan satu lagi hantaran mengkritik PAS kerana bekerjasama dengan DAP “yang nak hancurkan Islam dan Melayu”.
Danial memberitahu FMT, beliau mula menyokong Muda selepas beberapa pemimpin BN didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah. Beliau menyertai Muda pada Jun 2020, ketika parti itu masih baharu dan belum didaftarkan.
Muda menamakan Danial sebagai calon parti itu di Parlimen Kepala Batas yang dimenangi calon BN sejak 1974.
Penyandang kerusi itu adalah Reezal Merican Naina Merican yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.