
Ismail, yang menerajui negara selama 14 bulan sehingga pilihan raya mengejut diadakan, menjadi pilihan pertama 19% responden dalam tinjauan firma penyelidikan Ilham Centre.
Tinjauan itu dijalankan dari 1 Ogos hingga 30 Sept lalu, sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lalu.
Semasa Ismail menjadi perdana menteri, Malaysia melonggarkan kebanyakan sekatan Covid-19 dan membuka semula sempadannya, memacu ekonomi berkembang pantas dalam tempoh April-Jun.
Pemulihan ekonomi merupakan isu paling penting bagi majoriti responden tinjauan itu, dengan 44% berpendapat memulih dan meningkatkan ekonomi harus menjadi keutamaan.
Umno turut mendahului tinjauan itu dengan 31.8%. Walaupun keputusan itu memberi dorongan kepada Ismail dan Umno ketika mereka bersiap sedia untuk menghadapi PRU15, zaman parti politik dan pemimpin meraih lebih 50% sokongan sudah berlalu.
Negara mempunyai tempoh sehingga September 2023 untuk mengadakan PRU15, tetapi Umno mahu ia diawalkan untuk memanfaatkan kemenangannya dalam pilihan raya negeri baru-baru ini dan mereka menganggap pembangkang dalam keadaan kucar-kacir. Pun begitu, Umno mungkin tidak dapat meraih majoriti besar di Parlimen dan perlu membentuk pakatan dengan parti lain.
Mengekori Ismail dalam tinjauan itu ialah bekas perdana menteri, Najib Razak yang kekal popular walaupun sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas peranannya dalam skandal 1MDB. Najib dan calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim terikat di tempat ketiga, manakala Muhyiddin Yassin daripada Perikatan Nasional di tempat kedua dengan 13%.
Umno berhasrat menebus kekalahan mengejut pada PRU 2018 selepas berkuasa kira-kira enam dekad dengan sebahagian besar faktornya disebabkan skandal 1MDB. Umno kembali ke blok pemerintah dua tahun kemudian susulan kejatuhan kerajaan PH, tetapi ia mengetuai gabungan rapuh sejak itu.
Peratusan keluar mengundi mungkin memihak kepada Umno kali ini. Kira-kira 83% responden berkata, mereka akan keluar mengundi pada 19 Nov ini, tetapi pecahan data menunjukkan responden yang paling tidak pasti sama ada akan mengundi ialah kaum Cina dan Bumiputera bukan Islam – pengundi biasa PH.