
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Vijaya Rao Samachulu berkata, lelaki itu yang dipercayai kakitangan Hospital Pakar KPJ Klang akan dipanggil esok.
“Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang telah membuat satu laporan berhubung video berkenaan dan suspek akan dipanggil ke IPD Klang Utara esok,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, dengan sengaja memudaratkan atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan.
Beliau menasihatkan orang ramai menjaga tingkah laku dan menghindari tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Sementara itu, Hospital Pakar KPJ Klang berkata, siasatan dalaman sudah dimulakan ke atas video tersebar di media sosial yang didakwa menggambarkan seorang kakitangannya berkelakuan tidak profesional.
Dalam kenyataan beransingan, ia berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap kakitangannya, jika mereka didapati berbuat demikian.
Terdahulu, satu klip video menunjukkan seorang lelaki berbaju Melayu dan bersongkok memijak kolam pada bahagian hiasan, dengan seorang penonton berkata “vandalisme”.