Pengerusi Muda Perak ingkar arahan parti, umum tanding di Tapah

Pengerusi Muda Perak ingkar arahan parti, umum tanding di Tapah

Tetapi, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long menafikan dakwaan Mutalib Uthman dan berkata kerusi itu milik Pakatan Harapan.

Mutalib Uthman membuat pengumuman itu, walaupun Muda menegaskan hanya pengarah pilihan raya, Amira Aisya Abd Aziz boleh membuat pengumuman mengenai calon parti.
PETALING JAYA:
Pengerusi Muda Perak, Mutalib Uthman membuat kejutan dengan mengumumkan dirinya akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Pakatan Harapan (PH), yang secara tradisi bertanding di kerusi itu.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas pengumuman itu, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long menafikannya dan mengulangi sebarang pengumuman mengenai calon parti hanya akan dilakukan pengarah pilihan rayanya, Amira Aisya Abd Aziz.

Katanya, rundingan kerusi antara Muda dan PH sudah selesai dan dimuktamadkan semalam, oleh itu Tapah akan ditandingi PH, bukannya Muda.

“Kedua-dua parti komited untuk mengelakkan sebarang pertembungan kerusi. Jadi sebarang pengumuman yang bertentangan dengan persefahaman ini bukan pengumuman rasmi dari Muda,” katanya dalam kenyataan.

Astro Awani memetik Mutalib sebagai berkata, keputusannya bertanding di Tapah sejajar pengumuman Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa kerusi Parlimen itu dan Sembrong masih dalam perbincangan dengan parti lain.

“Untuk rekod, Parlimen Tapah merupakan kerusi luar bandar dan kubu kuat Barisan Nasional yang kini disandang bekas menteri sumber manusia, M Saravanan.

“Untuk menyahut seruan, perjuangan ‘Muda melawan menteri’ sebagaimana di kerusi lain yang ditandingi Muda, saya dengan rendah diri akan menjadi calon di Parlimen Tapah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.