
Seorang daripada mangsa Wan (bukan nama sebenar), 34, berkata selepas tiba di Kemboja, mereka ditempatkan di sebuah hotel di Kampung Sok, Phnom Penh kira-kira lima bulan, yang dipercayai pusat operasi sindiket penipuan itu.
Sebelum ke Kemboja, katanya, mereka ditawarkan pekerjaan di sebuah kasino dengan gaji lumayan USD1,100 sebulan menerusi ejen tempatan, namun dipaksa bekerja sebagai “scammer” mata wang kripto yang dipercayai didalangi warga Taiwan sebaik tiba di negara itu.
“Kami tertarik dengan tawaran gaji, tetapi apabila sampai di sana, indah khabar daripada rupa, pada mulanya ditawarkan sebagai pelayan kasino, tetapi sebaik saja sampai di sana, kami dijadikan ‘scammer’.
“Jika kami tidak tandatangan kontrak (sebagai scammer) untuk enam bulan, kami disuruh bayar RM15,000 seorang untuk pulang semula ke tanah air dan kami semua terpaksa tandatangan,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Larkin di sini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah.
Bagaimanapun, Wan yang berasal dari Kampung Melayu Paloh di Kluang berkata, sepanjang lima bulan di Kemboja, mereka tidak dibayar gaji seperti dijanjikan, namun tidak pernah dicederakan sindiket penipuan itu.
“Kami tidak pernah dicederakan, tetapi ada mangsa lain sebelum ini pernah kongsi pengalaman dipukul dan diacukan pistol…jadi sepanjang di sana, kami tidak pernah membantah dan sentiasa mengikut arahan.”
Katanya, dia dan enam yang lain merancang selama sebulan untuk melarikan diri, sebelum menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk mendapatkan bantuan dan berjaya melepaskan diri dengan alasan mahu memotong rambut.
Seorang lagi mangsa, Hawa (bukan nama sebenar), 30, berkata dia bersetuju menerima tawaran bekerja di negara itu kerana ingin mengumpul wang bagi persiapan perkahwinannya.
“Saya dan juga tunang sama-sama menerima tawaran itu, namun terperanjat apabila dimaklumkan akan melakukan kerja tidak berkaitan dengan tawaran asal. Mangsa penipuan bukan hanya warga Malaysia, tetapi ada juga dari India, China dan Indonesia,” katanya yang berasal dari Skudai.
Dalam pada itu, Hairi berkata, kerajaan negeri menanggung semua kos membawa pulang tujuh mangsa itu, termasuk penginapan, tiket, makan dan minum kira-kira RM15,000.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memantau dan membantu semua mangsa mendapatkan pekerjaan baharu kerana terdapat 19,000 jawatan kosong dalam pelbagai sektor di negeri ini.
“Ini pengalaman yang perlu mereka lalui, saya ingin ingatkan belia di negeri ini agar melihat peluang pekerjaan di Johor terlebih dahulu. Ini kerana terdapat lebih 50,000 pekerjaan dan hanya kira-kira 31,000 saja yang diisi, jadi masih banyak peluang pekerjaan di sini.”
Baru-baru ini, tular satu video menerusi TikTok yang memaparkan tujuh mangsa penipuan itu merayu bantuan daripada kerajaan negeri untuk pulang ke tanah air, selepas melarikan diri daripada sindiket itu dengan bantuan MHO.