Wong Tack akan jadi calon bebas di Bentong

Wong Tack akan jadi calon bebas di Bentong

Ini selepas beliau digugurkan DAP sebagai calon di kerusi Parlimen itu.

Pagi tadi, DAP mengumumkan Young Syefura Othman akan bertanding di kerusi Parlimen Bentong yang disandang Wong Tack sebelum Parlimen dibubarkan.
PETALING JAYA:
Wong Tack yang digugurkan sebagai calon DAP dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan bertanding di kerusi Parlimen Bentong sebagai calon bebas.

Ketika membuat pengumuman ini, Wong Tack berkata, beliau sudah dimaklumkan oleh DAP bahawa dirinya tidak sesuai dengan “strategi besar” parti itu, yang memilih bekas ADUN Ketari, Young Syefura Othman untuk bertanding di Bentong.

Tetapi, katanya, beliau kekal komited untuk berkhidmat kepada penduduk Bentong dan menyifatkan kawasan itu sebagai “kampung halamannya”.

Beliau berkata, NGO alam sekitar yang diketuainya, Himpunan Hijau tidak berminat dengan permainan politik.

“Rakyat bukan bidak dalam permainan catur.”

Beliau turut menyentuh perjanjian DAP dengan Himpunan Hijau pada 2013 untuk memperhebatkan kempen alam sekitar di Malaysia, termasuk menutup kilang Lynas.

Wong Tack menjadi pengkritik lantang kilang nadir bumi itu.

“Hari ini, DAP memutuskan untuk menamatkan persefahaman ini. Saya ingin menjelaskan bahawa rakyat yang menentukan persefahaman dan haluan mereka. Pilihan itu di tangan kita.

“Saya, Wong Tack, akan bertanding di kerusi Bentong pada PRU15 di bawah tiket rakyat.”

Dalam sidang media pagi tadi, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, parti itu sudah berbincang dengan Wong Tack untuk meletakkan beliau di kerusi Parlimen Cameron Highlands, tetapi tawaran itu ditolaknya.

Wong Tack memenangi kerusi Bentong pada PRU14, selepas menundukkan Presiden MCA ketika itu, Liow Tiong Lai dengan majoriti 2,032 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.